20 April 2022 (Rabu). Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melalui kolaborasi Pejabat Penolong Naib Canselor Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat (PJIPK), Pejabat Pendaftar dan Pejabat Bangunan Jauhari telah berjaya menganjurkan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) secara hibrid. YTF adalah merupakan yayasan yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan kepimpinan wanita dengan menengahkan Women in Search of Excellence (WiSE).

Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM telah menyampaikan ucapan aluan dengan menyatakan profesionalism dan pengalaman wanita sangat signifikan dalam memelihara dan mendaulatkan keamanan dan keharmonian sejagat.

Webinar YTF telah disempurnakan perasmiannya oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis. Baginda bertitah bahawa lebih ramai kaum hawa memperagakan tekad, iltizam dan sifat keberanian bagi memecah norma bidang ketenteraan dan baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada para wanita hebat yang mengungguli bidang ketenteraan dan keselamatan.

Sementara itu YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi dalam ucaptamanya ‘Kepentingan Pendidikan Dalam Memperkasa Keselamatan Dan Masa Depan Wanita’ sangat berbangga dengan pencapaian wanita menduduki beberapa jawatan penting dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, keusahawanan, keselamatan, kesihatan dan lain-lain. Dr Surayya Mohd Saudi dan Kdr Hani Kalsom Hashim TLDM turut memberi ulasan Ucaptama YB Menteri Pengajian Tinggi.

Webinar yang diadakan ini berkonsepkan ‘Cabaran Wanita Dalam Keselamatan’ bersesuaian dengan niche UPNM iaitu pertahanan dan keselamatan. Forum Bual Bicara 1 dengan tajuk ‘Peranan Wanita Dalam Pertahanan Dan Keselamatan Negara’ telah dikemudi oleh Prof Dr Haslinda Abdullah sebagai moderator dan dibarisi oleh panel-panel dari badan beruniform iaitu Brig Jen Dr Normah Samsuri, Brig Jen Fazillah Abdullah TUDM dan Kdr Ts Dr Haliza Mohd Zahari TLDM.

Manakala Forum Bual Bicara 2 dengan tajuknya ‘Keselamatan Wanita Dalam Perspektif Undang-undang’ telah diketuai oleh Prof Madya Ts Dr Noor Afiza Mat Razali selaku moderator dan dimantapkan dengan ahli panel termasuklah Dr Zurina Abdul Hamid (KPWKM), Puan Farah Adura Hamidi (Jabatan Perdana Menteri) dan Lt Kdr Dr Mazura Md Saman TLDM.

Penolong Naib Canselor Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat (PJIPK) dan juga Pengerusi Webinar YTF, Dato’ Dr Junaidah Kamarruddin telah merumuskan bahawa Webinar YTF telah berjaya mencapai objektifnya iaitu meningkatkan imej dan peranan wanita dalam pertahanan dan keselamatan di persada dunia di samping menyediakan wadah bagi pertukaran informasi dan memperkasakan pengetahuan wanita dalam dimensi pertahanan dan keselamatan.

Webinar YTF telah disempurnakan penutupannya oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis. Baginda tertarik dengan salah satu matlamat di dalam Dasar  Wanita Negara oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) iaitu memberi fokus untuk menyediakan persekitaran yang kondusif termasuk penggubalan dasar dan perundangan mesra wanita, bagi meningkatkan martabat dan kesejahteraan hidup wanita dalam semua aspek termasuk fizikal, ekonomi, sosial, politik, kesihatan, psikologi dan kerohanian.

Pengacara program webinar ini adalah Puan Nor Azlin Safina Abd Aziz manakala Lt Kol Zazali Makding membimbing bacaan doa. Turut hadir di Webinar YTF termasuklah YB Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi, Ahli Dewan Negara juga Pengerusi BERNAMA dan barisan Pengurusan Tertinggi UPNM. Webinar YTF juga diikuti melalui facebook UPNM secara langsung.