Pada 11 Mac 2022 telah berlangsung Ceramah Khas Sambutan Israk Mikraj 1443H/2022M oleh Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Timbalan Mufti Negeri Johor. Ceramah keagamaan ini yang dianjurkan oleh Pusat Islam UPNM bertujuan untuk melihat ibrah atau pengajaran dalam menitip perjalanan agung Nabi Muhamad SAW dan menyemai rasa kasih kepada perjuangan baginda.
Dalam ceramahnya, SS Timbalan Mufti Negeri Johor menekankan betapa pentingnya kekuatan iman dalam mempercayai peristiwa israk dan mikraj yang berlawanan dengan akal manusia yang waras. Beliau menceritakan beberapa kisah di dalam Al-Quran seperti kewujudan Nabi Adam dan Siti Hawa, kisah sembelihan Nabi Ismail yang digantikan dengan biri-biri dan juga kisah tongkat Nabi Musa menjadi ular.
Beliau juga memetik kisah beberapa pemuda yang ditidurkan oleh Allah SWT selama 309 tahun di dalam gua menerusi Surah Al-Kahfi. Kata-kata Rasulullah SAW mengenai alam ghaib seperti contoh keberadaan syurga dan neraka di Hari Akhirat akan meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan umat Islam ke hadrat Illahi yang Maha Esa. SS Timbalan Mufti Johor mengakhiri sentuhannya dengan perkara-perkara yang perlu dilaksanakan oleh setiap orang Islam dalam menjernihkan hati iaitu menunaikan solat 5 waktu, membaca Al-Quran, berzikir dan rajin bersedekah.
Di dalam membina warga dan organisasi cemerlang dan terbilang, perkara-perkara yang disampaikan secara penulisan menerusi media sosial haruslah tidak berbau fitnah atau membuka keaiban seseorang. Sebaliknya mereka perlu jujur, membuat penelitian terlebih dahulu dan peka akan sensitiviti orang lain agar tiada pergeseran atau perpecahan berlaku.
Turut hadir di ceramah khas secara bersemuka termasuklah YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM, Pegawai-pegawai Pengurusan Tertinggi UPNM dan Komandan ALK. Ceramah telah dilaksanakan dengan jayanya secara hibrid di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan Canselori dan staf serta pelajar mengikuti ceramah melalui facebook UPNM.