Malaysia Cyber Security Award 2021

Bersempena 12th CyberSecurity Malaysia — Awards, Conference & Exhibition 2021 (CSM-ACE 2021), CyberSecurity Malaysia (CSM) telah memilih UPNM melalui Produk SiberSasar: Cyber Range System for Cyber Battlefield Exercise dari Pusat Keselamatan Siber dan Revolusi Industri Digital (PKS&RID) sebagai pemenang Cyber Security Innovation (Education) of the Year di Malaysia Cyber Security Award 2021 pada 14 Disember 2021 bertempat di Menara Cyber Axis, Cyberjaya. Produk SiberSasar ialah satu sistem dan platform cyber range yang menyediakan latihan praktik keselamatan siber kepada pelajar dan professional keselamatan maklumat bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka terhadap keselamatan siber melalui latihan siber. Produk ini telah digunakan oleh pelajar Jabatan Sains Komputer  serta turut digunakan sewaktu kursus latihan yang dianjurkan oleh PKS&RID.  

Malaysia Cyber Security Award 2021 adalah anugerah yang berprestij diberikan kepada individu professional dan organisasi keselamatan maklumat yang cemerlang dalam kerja dan usaha yang dilaksanakan selain mengiktiraf sumbangan penting dan inovasi tempatan yang memberi impak yang besar kepada keselamatan dan kesejahteraan alam siber di Malaysia. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh KSU Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia kepada Prof Madya Mohd Hazali bin Mohamed Halip, Pengarah Pusat Keselamatan Siber dan Revolusi Industri Digital, UPNM. Turut hadir semasa majlis tersebut adalah Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Muhamad Azani Bin Yahya, Pengarah, Pusat Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan, UPNM dan Dr Nur Diyana binti Kamarudin, Felo Penyelidik, PKS&RID. Selain UPNM, antara penerima enam kategori utama lain ialah organisasi seperti FIRMUS Sdn. Bhd, Huawei Technologies (M) Sdn Bhd dan Novem CS Sdn Bhd. Manakala antara pemenang individu iaitu Cyber Security Professional of the Year ialah Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (KP BSEP), Laksamana Muda Dato’ Shamsuddin bin Hj Ludin.