Pada 25 Nov 2021Jawatankuasa Bersama yang terdiri daripada Bahagian Jaminan Kualiti dan Pengurusan Data, Pejabat Pendaftar dan Pusat Pembangunan Akademik telah berjaya mengadakan Hari Inovasi Dan Majlis Anugerah (HIMA) UPNM Tahun 2021 bertujuan meraikan semua penerima dan pemenang anugerah-anugerah yang dipertandingkan. Penganjuran majlis gilang gemilang ini yang khusus diadakan di Hotel Tenera, Bangi merupakan julung kali semenjak penubuhan UPNM pada tahun 2006.

HIMA UPNM 2021 pada kali ini melibatkan kategori Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (82 penerima), Anugerah Akademik Cemerlang (40 penerima) dan Anugerah Hari Inovasi (40 penerima). Selain itu, seramai 13 staf UPNM turut menerima penghargaan khas dan menjadikan anugerah ini sebagai pemangkin dan motivasi buat semua warga UPNM.

Dalam majlis ini, tidak dilupakan kepada pesara-pesara UPNM seramai 4 orang dengan memberi pengiktirafan “Jasamu Dikenang”. UPNM turut menyampaikan sumbangan kepada waris 4 keluarga allahyarham staf UPNM.

Sesungguhnya majlis ini amat dinanti-nantikan oleh semua warga UPNM untuk meraikan kejayaan dan kecemerlangan kerjaya dan pencapaian mereka dalam pada tahun 2020. Penerima dan pemenang anugerah amat bertuah sekali apabila HIMA 2021 turut dihadiri ahli-ahli LPU serta Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti sendiri iaitu Yang Berbahagia Tan Sri (Dr.) Syed Azman bin Syed Ibrahim yang juga merasmikan majlis ini.

Sekali lagi tahniah buat semua warga UPNM dan sekalung penghargaan khususnya kepada Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM, pengurusan Tertinggi UPNM, para juri, AJK Induk, AJK Kecil dan Pelaksana bagi memastikan perjalanan majlis berjalan lancar dan mencapai objektifnya.