Page 210 - Laporan Tahunan UPNM 2023
P. 210
UPNM Prihatin
16 April 2023 | Program Jalinan Kasih Ramadan Mahasiswa UPNM Bersama Rumah Anak
Yatim: Darul Taqwa, Bandar Tasik Selatan
Seramai 15 orang sukarelawan daripada Kelab Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) UPNM
telah mengambil kesempatan dalam keberkatan fasa terakhir bulan ramadan dengan menyelami
kehidupan penghuni di Asrama Anak-Anak Yatim Darul Taqwa (ASDAT) dalam program Jalinan
Kasih Ramadan Mahasiswa UPNM. Program ini merupakan anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal
JHEPA UPNM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, Bulan Sabit
Merah Malaysia (BSMM) dan AMAR UPNM.
Mahasiswa UPNM mengambil kesempatan ini untuk bersama-sama menyantuni penghuni ASDAT
dengan melaksanakan pelbagai aktiviti termasuklah Latihan Dalam Kumpulan (LDK) Listen
Me dan Siapa Saya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah untuk membantu membangkitkan
semangat mereka dalam menuntut ilmu dan mengenali kelebihan potensi serta kekurangan diri
agar dapat diperbaiki ke arah yang lebih baik. Selain itu, program ini juga turut diisi dengan Slot
Motivasi Ramadan bertajuk “Syukur dan Bahagia” yang disampaikan oleh Encik Muhammad
Hazman Hussin, Pegawai Psikologi UPNM merangkap Penyelaras bagi program ini.
Menurut Pengarah Program, Saudara Muhammad Daniel bin Zulkifli, Pelajar Tahun 2 dari Fakulti
Sains dan Teknologi Pertahanan, program ini dilangsungkan bertujuan untuk mengimarahkan
dan menzahirkan bulan Ramadan dengan meraikan golongan anak-anak yatim yang masing-
masing berumur lingkungan 9 hingga 17 tahun. Ini sekali gus mampu memupuk rasa syukur dan
cinta beramal ibadah menerusi amalan bersedekah, serta membentuk sifat rendah diri dalam
kalangan mahasiswa.
Bagi penghuni di sini, adik Muhammad Aqeel, 17, beliau berasa gembira dengan aktiviti-aktiviti
yang dijalankan serta amat bersyukur kerana diberi peluang untuk berjumpa dengan mahasiswa
UPNM kerana pada suatu hari nanti ingin mengikuti jejak langkah melanjutkan pelajaran ke
menara gading. Harapannya agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang
bagi meningkatkan motivasi belajar dan memberi inspirasi kepadanya dan rakan-rakan yang lain.
Selain majlis berbuka puasa dan jamuan moreh, turut diadakan aktiviti pengagihan barangan
sumbangan yang terdiri daripada keperluan harian dan pemberian duit raya kepada anak-anak
yatim sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kos barangan keperluan, juadah
berbuka puasa dan moreh adalah hasil sumbangan BSMM serta derma ikhlas daripada pelajar
dan staf UPNM.
Laporan Tahunan 2023
210 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia