


Accessibility Tools



16 Jun 2023 – Sebagai tanda simbolik penghargaan dan penghormatan kepada YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM yang menamatkan perkhidmatannya sebagai NC UPNM Ke-6 pada 18 Jun 2023, UPNM telah mengadakan acara send-off.

Acara dimulakan dengan YBhg Naib Canselor menerima tabik hormat dari anggota kawalan suku (quarter guard) di hadapan Bangunan Canselori. Kemudian beliau yang diiringi Pegawai Pengurusan Tertinggi UPNM berjalan di sepanjang laluan dari Bangunan Canselori dan berakhir di Balai Pengawal UPNM.
Para staf dan pelajar UPNM berbaris dan bersalam-salaman dengan YBhg NC sebagai menzahirkan ucapan terima kasih di atas jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan kepada kemajuan dan kecemerlangan UPNM.


*Lihat Video Pendek Disini: https://youtu.be/ZAuqauhQLEA
16 Jun 2023 – YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Dasar Dan Garis Panduan Program Kolaborasi Industri Universiti Pertahanan Nasional Malaysia bertempat di Bilik Mesyuarat Senat.
Program Kolaborasi Industri atau Industrial Collaboration Program adalah program yang melibatkan aktiviti-aktiviti yang akan memberi nilai tambah ke atas sesuatu perolehan yang dibuat oleh kerajaan dengan mengambil kira kos yang efektif.

Program-program ICP yang terhasil di UPNM adalah dari usaha dan inisiatif YBhg Dato’ Dr Jesbil Singh, selaku PNC JIPK UPNM dan dengan dokongan padu YBhg Dato’ Dr Junaidah Kamarruddin waktu menjawat Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) serta merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Kolaborasi Industri Kementerian Pertahanan.
Antara program ICP dalam bidang akademik yang telah dilaksanakan termasuklah Master in Business Management (Defence & Security), Master in Science in Engineering (Aeronautics), Master in Science Cyber Security And Management, Master in Maritime Technology, Master in Information Security dan Master in Technology Management For Defence And Security.
16 Jun 2023 (Jumaat) – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah mengadakan Majlis Sanjungan Budi Seluhur Bakti di Hotel Everly, Putrajaya sempena YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM yang akan menamatkan tugas sebagai Naib Canselor UPNM Ke-6 pada 18 Jun 2023.
YBhg NC telah memulakan tugas di UPNM pada 19 Disember 2020 dan telah membawa perubahan terutamanya kepada halatuju dan aspirasi UPNM. Dalam masa yang sama juga, UPNM terus menjadi universiti rujukan dalam bidang pertahanan dan keselamatan bagi universiti-universiti tempatan dan luar negara.

Di dalam majlis ini, YBhg NC telah menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua lapisan pentadbiran yang sentiasa memberi sokongan padu dan perkongsian idea sehingga membawa UPNM dikenali di persada nasional dan antarabangsa.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg Tan Sri (Dr) Syed Azman Syed Ibrahim turut menyatakan kebanggan beliau di atas kepimpinan bijaksana YBhg NC dalam mentadbir dan mengurus UPNM.
Turut hadir termasuklah Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Pegawai Pengurusan Tertinggi UPNM, Pegawai-pegawai Kanan UPNM, staf dan Majlis Perwakilan Pelajar.

15 Jun 2023 (Khamis) - YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Bin Abdullah, Naib Canselor UPNM telah membuat sembah menghadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultah Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Negara.
Sembah menghadap YBhg Naib Canselor ini bagi menyatakan penamatan perkhidmatan beliau sebagai Naib Canselor UPNM berakhir pada 18 Jun 2023 dan akan bersara dalam perkhidmatan ketenteraan.

Menurut hantaran Facebook Istana Negara, “Seri Paduka Baginda selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Canselor UPNM menzahirkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas jasa dan khidmat bakti Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah kepada ATM dan UPNM serta negara.”
14 Jun 2023 – YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM telah melakukan kunjungan hormat ke atas YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi. Kunjungan hormat YBhg Naib Canselor UPNM dibuat adalah bersempena persaraan beliau serta bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai NC UPNM Ke-6 pada 16 Jun 2023.

Dalam pertemuan tersebut YB Menteri Pendidikan Tinggi telah merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas kepimpinan dan sumbangan YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah yang menerajui UPNM dengan cemerlang sejak dilantik pada 19 Disember 2020 lalu.
14 Jun 2023 – YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM telah melakukan kunjungan hormat ke atas YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Panglima Angkatan Tentera. Kunjungan hormat YBhg Naib Canselor UPNM dibuat adalah bersempena persaraan beliau serta bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai NC UPNM Ke-6 pada 16 Jun 2023.

Dalam pertemuan tersebut YBhg PAT telah merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas kepimpinan dan sumbangan YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah yang menerajui UPNM dengan cemerlang sejak dilantik pada 19 Disember 2020 lalu.
13 Jun 2023 – Satu perhimpuan khas Naib Canselor UPNM telah diadakan di Dewan Zulfaqar, Bangunan Tuah UPNM dan dihadiri oleh semua Pengurusan Tertinggi, Pegawai-pegawai Kanan, staf dan Majlis Pewakilan Pelajar (MPP).
Dalam perhimpunan ini, YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM telah menyampaikan amanatnya sebelum beliau menamatkan perkhidmatan secara rasminya pada 16 Jun 2023.


Beliau merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua peringkat dan lapisan warga UPNM atas sokongan padu di sepanjang beliau menerajui kepimpinan UPNM. YBhg NC turut merakamkan rasa bangga dengan pencapaian UPNM di persada nasional dan antarabangsa.
Di akhir ucapan, beliau mengingatkan agar seluruh warga UPNM terus komited dengan tugas, peranan dan tanggungjawab dan menasihati para pelajar agar terus cemerlang di dalam akademik seterusnya menggalas kepimpinan pada masa hadapan.



Pada 8 Jun 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat Canselori telah berlangsung Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Ke-52 Bilangan 2 Tahun 2023.
Mesyuarat LPU telah dipengerusikan oleh YBhg Tan Sri (Dr) Syed Azman bin Syed Ibrahim, Pengerusi LPU UPNM. Dalam ucapan pembukaan, YBhg Pengerusi merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YBhg Dato’ Sri Muez bin Abd. Aziz, mantan Ahli LPU merangkap Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan yang bersara pada 31 Mei 2023 dan kepada YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM yang akan menamatkan perkhidmatan pada 19 Jun 2023.

Dalam Mesyuarat LPU, Naib Canselor UPNM telah membentangkan pencapaian prestasi UPNM, program-program universiti yang telah dilaksanakan dan aktiviti-aktiviti akan datang serta penglibatan staf dan pelajar dalam kalendar bulan Mac hingga Jun 2023.
Beberapa kertas kerja juga telah dibentangkan dan keputusan-keputusan telah diambil oleh ahli LPU akan terus memberi UPNM untuk lebih berdaya maju dan dinamik dalam memartabatkan pendidikan, penyelidikan dan latihan di persada nasional dan antarabangsa.
Turut hadir dalam Mesyuarat LPU adalah YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM (Bersara), Puan Azlinda binti Azman, En Md Taufiq bin Md Ralip, Lt Kol Prof. Dr. Victor Feizal bin Knight Victor Ernest@ Abd Shatar (Bersara), Kdr (K) Datuk Zulkifli bin Ishak PSSTLDM, Dato’ Hj Md Pishal bin Ab Raub, Encik Mohamad Amir Shaqim bin Ahmad Shahriman dan Pegawai Pengurusan Tertinggi UPNM.
HUBUNGI KAMI
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Kem Perdana Sungai Besi
57000 Kuala Lumpur
dummy+06 03-9051 3400
dummy webmaster@upnm.edu.my
PELAWAT
