37
Laporan Tahunan 2011
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
3.0 Aktiviti Berimpak Tinggi
3.1 Pertandingan Debat Keamanan Ala Presiden Kali Pertama Piala Menteri Pengajian
Tinggi 2011
Debat Keamanan merupakan pertandingan yang menggunakan format debat ala presiden pertama
seumpamanya yang direalisasikan atas inisiatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UPNM
dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia
(MADUM) dan Kesatuan Debat UPNM. Pertandingan yang julung-julung kali diadakan di peringkat
Institusi Pengajian Tinggi ini telah dianjurkan bermula 16 hingga 19 Januari 2011 dan melibatkan
penyertaan 32 pasukan daripada 18 Institusi Pengajian Tinggi seluruh Malaysia.
Pertandingan peringkat pusingan awal hingga separuh akhir telah diadakan di Institut Latihan KWSP,
Bangi Selangor, manakala pertandingan akhir pula telah diadakan dengan jayanya di Dewan Tun
Templer, Kampus UPNM.
YB Datuk Seri Hj Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia telah berbesar hati
untuk hadir bagi menyaksikan dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang
pertandingan pada malam pertandingan akhir iaitu pada 19 Januari 2011. Dalam ucapannya pada
malam pertandingan akhir tersebut juga, beliau mengumumkan bahawa UPNM diberikan hak
penganjuran pertandingan dan akan dianjurkan secara tahunan. YB Datuk Seri Hj Mohamed Khaled
Nordin juga menyatakan bahawa debat yang menggunakan format baru seperti ini merupakan satu
pembaharuan dan inovasi dalam sejarah aktiviti perdebatan di kalangan pelajar IPT, dan beliau
berharap ia mampu menjadi pencetus dan pemangkin kepada mutu dan kualiti perdebatan akan
menjadi semakin baik, matang dan konstruktif.
Dengan membawakan mesej keamanan, debat yang bertemakan“Bersama Menyuarakan Keamanan”
ini membawa mesej utamanya iaitu mempromosikan keamanan dan kedamaian dalam kalangan
generasi muda. Debat ini diharap menjadi platform terbaik bagi para pelajar melontarkan idealogi
segar dan matang mereka berkaitan isu-isu keamanan sejagat.
aktiviti dan pencapaian mahasiswa
3.2 Pertandingan Fotografi Wajah-Wajah 1 Malaysia Terbuka IPT 2011
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengambil inisiatif untuk menganjurkan
Pertandingan Fotografi Wajah-Wajah 1 Malaysia Peringkat Institusi Pengajian Tinggi sebagai salah
satu usaha murni UPNM untuk menyumbang dalam merealisasikan gagasan 1 Malaysia melalui
aktiviti fotografi di mana para pesertanya kelak akan dapat menunjukkan ekspresi mereka mengenai
keindahan konsep dan semangat 1 Malaysia melalui penghasilan foto-foto yang bertemakan konsep
tersebut dari pelbagai sudut. Pertandingan ini adalah terbuka kepada semua pelajar Insititusi
Pengajian Tinggi Awam dan Swasta seluruh Malaysia bermula pada bulan Mac hingga Ogos 2011.
Sebanyak 39 karya telah diterima daripada 13 IPT seluruh Malaysia. Majlis penyampaian hadiah para
pemenang pertandingan telah diadakan pada 26 November 2011 yang mana telah disempurnakan
oleh YBhg Datuk Haji Omar bin Abd. Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan, Kementerian
Pengajian Tinggi.