Selamat Datang ... dan Salam 1Malaysia!

Pusat Bahasa (PB) adalah pusat akademik termuda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Pada awal penubuhannya, PB dikenali sebagai Pusat Pengajian Umum dan Bahasa (PPUB). Walau bagaimanapun, disebabkan penstrukturan semula, satu jabatan iaitu Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan telah dipindahkan ke satu fakulti yang lain mulai 1 Jun 2012.

PB menyasarkan untuk mempromosi pengetahuan bahasa tanpa sempadan dan kompetensi yang diperlukan oleh bakal pegawai tentera dan pemimpin muda di Malaysia. Kursus-kursus yang ditawarkan oleh PB adalah bertaraf wajib universiti seperti kursus Bahasa Inggeris dan Bahasa Asing (Jepun, Arab, Mandarin, Rusia, Sepanyol, dan Perancis). Pada masa akan datang PB bercadang menawarkan lebih banyak kursus-kursus yang berkaitan seperti pemikiran kritis, kesusasteraan bahasa, falsafah dan sebagainya.

PB mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli jabatan yang telah berpindah ke fakulti baharu. Dengan perpindahan ini, PB kini mempunyai 36 staf akademik dan 7 staf pengurusan serta sokongan. 2021 akan menyaksikan perkembangan yang lebih sihat dalam organisasi PB.

 

KATA-KATA ALUAN PENGARAH 

 

Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.

 

Pusat Bahasa (PB) sebagai pusat yang bertanggungjawab dalam ilmu bahasa, budaya dan komunikasi, bercita-cita untuk menjadi pusat kecemerlangan ilmu tanpa sempadan yang menyumbang kepada pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah diri para graduan. PB bukan sahaja menawarkan satu program akademik, Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Bahasa dan Komunikasi Silang Budaya) (ZB03), malahan terus mengorak langkah dengan penawaran kursus-kursus di peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Warga PB berhasrat untuk menghasilkan graduan yang mahir dan berpengetahuan dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa utama di dunia. Kami di PB komited dalam penyediaan kemudahan dan perkhidmatan pendidikan bahasa yang terbaik kepada para pelajar.  Pada masa yang sama, kami juga sedang menyusun strategi dalam semua kegiatan pengajaran dan pembelajaran bagi terus memaknai dunia pendidikan yang pelbagai dan kompleks. Natijahnya para graduan, sarjana dan pakar dalam pengajian bahasa dan bidang pendidikan akan mempunyai asas yang kukuh selaku penggerak bahasa dan budaya yang berpotensi untuk menghadapi arus cabaran dan tuntutan zaman moden

Kepada pelajar-pelajar UPNM, kursus-kursus yang ditawarkan di PB akan membantu pembinaan sahsiah diri, pemikiran intelektual serta pembangunan modal insan yang kompeten di peringkat global. Sebagai bakal pegawai tentera dan bakal peneraju sektor awam dan swasta, kemahiran dan pengetahuan bahasa yang mantap amat diperlukan dalam mentransformasi bakal graduan sebagai leaders of character di semua peringkat dalam masyarakat. Dengan keupayaan dalam pelbagai cabang ilmu bahasa, kami percaya para pelajar akan terus berusaha gigih untuk mencapai kejayaan yang cemerlang 

Kepada pelajar program ijazah PB (ZB03), andalah bakal pemimpin intelektual berkarakter yang kompetitif, yang berupaya mengharungi cabaran merentasi bahasa dan budaya, seterusnya berfungsi sebagai tonggak negara, bangsa dan penyumbang kepada kemajuan tamadun manusia.

Selamat maju jaya.

 

Sekian.

 

Wassalam.

 

Prof. Madya Dr. Norshima binti Zainal Shah

Pengarah

Pusat Bahasa

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia