2 DISEMBER 2025 | KUALA LUMPUR: Istiadat Konvokesyen Ke-15 UPNM bermula hari ini dengan penuh istiadat apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, selaku Tuanku Canselor UPNM, berkenan menyempurnakan Sidang Pertama di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
 
Seri Paduka Baginda bertitah menzahirkan harapan besar kepada graduan, “Istiadat konvokesyen seperti ini bukan sahaja menandakan kejayaan akademik para graduan, tetapi permulaan perjalanan dalam menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.”
 

 
Pada tahun ini, UPNM menganugerahkan ijazah kepada 1,011 graduan, merangkumi diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Daripada jumlah itu, 15 graduan daripada Program Siswa Sulung (SULUNG), inisiatif KPT yang membuka laluan mobiliti sosial kepada anak sulung keluarga B40 menjadi graduan pertama dalam keluarga.
 
Lebih membanggakan, salah seorang peserta program tersebut, Kalishwaran A/L Saravanan, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Sistem Komputer), FSTP, menerima Anugerah Pelajaran Diraja, mengetengahkan UPNM sebagai institusi yang berjaya melahirkan bakat strategik melalui peluang pendidikan yang inklusif.
 
Tema konvokesyen tahun ini “Graduan Berwawasan, Pewaris Kedaulatan”, menegaskan komitmen UPNM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi mempunyai karakter kepimpinan, disiplin dan integriti sebagai penyumbang langsung kepada ekosistem pertahanan dan keselamatan negara.
 
Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi bin Hj Ahmad menegaskan, “Negara menyebut nama anda kerana anda adalah bakat harapan negara. Melangkahlah dengan tunduk tetapi penuh dengan ilmu.”
 
Turut berangkat YAM Tunku Dr. Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah ibni Almarhum Sultan Islandar, Tunku Puteri Johor.
 
Turut hadir YBhg. Laksamana Tan Sri Dato’ Setia (Dr.) Mohd Anwar bin Haji Mohd Nor (Bersara), Pro-Canselor, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pertahanan dan barisan Lembaga Pengarah Universiti.