Maktab Ketahanan Nasional (MKN) telah menganjurkan Minggu Eksekutif (Executive Week) yang bermula dari 30 Oktober 2023 hingga 3 November 2023. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mencemar duli menyempurnakan Majlis Penutup Minggu Eksekutif (Executive Week) Maktab Ketahanan Nasional pada 3 November 2023. Program ini telah disertai pegawai- pegawai dari Gred 52 hingga JUSA C daripada pelbagai kementerian dan agensi serta seramai 200 orang pegawai daripada Kedah Civil Service.
 
UPNM yang merupakan rakan strategik kepada MKN telah dijemput untuk membuka booth Pameran pada 2 dan 3 November 2023 sempena penganjuran Minggu Eksekutif tersebut bertujuan perkongsian peranan UPNM merangkumi program yang ditawarkan (prasiswazah dan pascasiswazah), pengajian sepanjang hayat, penerbitan, penyelidikan, penciptaan dan pengkomersilan produk serta pencapaian kejayaan universiti sehingga kini. Penyertaan booth ini telah memberi ruang dan peluang kepada para pengunjung/peserta Minggu Eksekutif untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai peranan UPNM dalam pendidikan, pertahanan dan perkembangan negara.
 
 
 
Penglibatan UPNM terdiri daripada Pusat Pengajian Siswazah, Pusat Pengajian Sepanjang Hayat, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Bahagian Pengurusan Akademik, Bahagian Jaminan Kualiti dan Pengurusan Data dan Institut Pengajian Eksekutif UPNM serta Pejabat Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat selaku penyelaras kepada penyertaannya.
 
Yang Berbahagia Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad, Naib Canselor UPNM turut hadir mewakili UPNM sebagai Service Provider kepada program-program yang dilaksanakan di Maktab Ketahanan Nasional.