Program Service Learning Malaysia -University for Society (SULAM) anjuran Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan (FPKP), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diadakan pada 15 hingga 26 November 2021 di Bera, Pahang. Seramai 50 pelajar perubatan Tahun 3 FPKP diiringi 15 pensyarah melaksanakan program ini bersama penduduk Orang Asli Kampung Bukit Rok dan Kampung Ibam. Objektif program SULAM adalah untuk bersama masyarakat setempat bagi berkongsi maklumat berkaitan kesedaran kesihatan serta memberikan panduan dan kaedah pemeriksaan kendiri berkaitan penjagaan kesihatan. Tema program SULAM ialah Kesihatan Wanita dan Kanak-kanak.

Program bermula dengan sesi lawatan pelajar-pelajar ke Kampung Bukit Rok pada hari Jumaat, 19 November 21. Para pelajar melawat rumah masyarakat setempat dan menyampaikan maklumat berkaitan kepentingan penjagaan kesihatan gigi dan berkongsi kaedah mencuci tangan dengan betul. Ini bertepatan dengan situasi pandemik sekarang yang memerlukan kekerapan mencuci tangan. Di samping itu, pelajar turut memberi pendedahan kepentingan pemeriksaan berkala berkaitan kanser pangkal rahim dan cara pemeriksaan kendiri payudara. Mereka juga mempromosi kepada penduduk kampung untuk turut serta dalam karnival kesihatan yang bakal diadakan pada hari Sabtu, 20 November 2021.

Karnival kesihatan Wanita dan Kanak-kanak telah berlangsung di padang Sekolah Kebangsaan Bukit Rok. Pengisian program karnival adalah pemeriksaan kesihatan umum (berat badan, tinggi, bacaan tekanan darah dan ujian glukosa darah), pameran dan promosi kesihatan berkaitan kanser payudara dan kanser pangkal rahim serta pameran dan aktiviti berkaitan pemakanan.

Terdapat 2 sesi ceramah disediakan iaitu Pemakanan Sihat oleh Pegawai Sains Pemakanan dari Pejabat Kesihatan Daerah Bera dan Penjagaan Kesihatan Remaja yang disampaikan oleh pelajar FPKP. Bagi memeriahkan karnival kesihatan, pelajar FPKP telah mengadakan sesi senamrobik dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak serta gubahan bunga untuk peserta dewasa.

Program SULAM yang dirancang ini juga bertujuan untuk mendekatkan diri pelajar universiti dengan masyarakat dan memberi pendedahan kepada pelajar yang bakal bergelar doktor perubatan kepada dunia sebenar. Mereka berpeluang berkomunikasi secara terus dengan Orang Asli dan menyelami sendiri tahap kesihatan mereka.