Penulis :Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim

 

1 April 2021- Majlis Pelancaran Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara 20 Universiti Awam. Setiap Universiti mempunyai kekuatan koleksi rujukan yang unik berasaskan bidang tujahan masing-masing. Pelbagai sumber maklumat ilmiah telah disediakan untuk tujuan PdP di setiap IPT yang terdiri daripada bahan bercetak dan juga bahan tidak bercetak termasuklah bahan dalam format elektronik.

Sehingga kini, terdapat lebih 11.19 juta bahan bercetak dan 45.7 juta bahan tidak bercetak termasuklah bahan elektronik untuk kegunaan warga kampus dan kumpulan penyelidik masing-masing. Penubuhan Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi yang dilancarkan pada hari ini merupakan satu iltizam dan testimoni kesungguhan serta komitmen warga pengajian tinggi ke arah menyokong ekosistem kewangan yang lestari kepada UA.

Fokus pembangunan Konsortium ini adalah bagi membolehkan penjimatan dan keberkesanan kos langganan kepada sumber maklumat elektronik untuk jangka masa panjang. Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman ini telah disempurnakan oleh YB. Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi. Lt Jen Dato’ Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah menandatangani Memorandum ini dan Encik Mohammed Dzulkarnain bin Abdul Karim, Ketua Pustakawan UPNM sebagai saksi. Ia juga dihadiri oleh Datuk Seri Dr. Mazlan bin Yusoff, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Husaini bin Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi KPT, Naib Canselor 20 Universiti Awam (UA) dan Ketua Pustakawan 20 Universiti Awam (UA).

Pemeteraian Memorandum Persefahaman antara 20 Universiti Awam bagi merialisasikan hasrat untuk memperkasakan pengurusan dan penawaran akses kepada sumber elektronik ilmiah.

 

Kolaborasi antara Universiti Awam ini bakal mengukuhkan prasarana maklumat ilmiah dalam format digital melalui pelbagai inisiatif termasuklah pembangunan kandungan ilmiah; pembangunan pelantar perkongsian sumber ilmiah digital; perkhidmatan yang inovatif dan pengukuhan kerjasama perpustakaan pada peringkat global.

 

Pada masa yang sama, perkhidmatan akademik dan limpahan manfaat kepada masyarakat dapat diperkukuhkan sejajar dengan gagasan pembelajaran sepanjang hayat. Sekitar Majlis Pelancaran Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara 20 Universiti Awam