Paparan: Kontras Tinggi | Asal
white blue red green big font small font W3C
29 September 2020 / 11 Safar 1442
Tetapan

BULETIN UPNM

Webinar Maritime Security Operations (MASO) 2020

Penulis :Pusat Undang-Undang Ketenteraan & Kemanusiaan Antarabangsa Jumaat, 28 Ogos 2020


Apabila pandemik COVID-19 melanda dunia pada tahun 2020, ia telah membawa cabaran kepada seluruh dunia dan memaksa kerajaan di serata dunia untuk mengambil langkah drastik dalam mengawal pergerakan merentas sempadan, termasuklah di jalan masuk maritim. Di Malaysia contohnya, bot yang membawa pendatang daripada negera berdekatan seperti Bangladesh dan Myanmar dipintas dan disekat di lautan. Pendatang yang tiba di perairan negara diarahkan menjalani proses kuarantin dan diletakkan dalam pusat tahanan sementara.


Situasi bot ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat awam dan organisasi bantuan antarabangsa. Kebimbangan berkenaan kesan polisi berkenaan kepada pendatang di lautan, keselamatan manusia dan isu kehilangan orang dikenalpasti. Agensi kemanusiaan berpendapat bahawa pandemik tidak seharusnya menyebabkan kehilangan perlindungan antarabangsa terhadap pendatang; keadaan individu perlu dinilai dan perhatian bersesuaian perlu diberikan kepada mereka yang memerlukan, seperti kanak-kanak yang tidak mempunyai penjaga, mereka yang sakit dan cedera serta orang yang diperdagangkan.


Kebimbangan ini menjadikan keselamatan maritim dan pelan tindakan COVID-19 kebangsaan dalam sorotan. Dengan pelbagai pandangan berbeza, isu ini semakin hangat diperkatakan. Walaubagaimanapun, untuk mencapai keseimbangan di antara keperluan kesihatan awam dan kemanusiaan bukanlah mudah. Ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk sama-sama berkongsi pendapat; memahami kuasa kerajaan dalam melindungi penduduknya semasa pandemik dan kewajipan mereka di bawah undang-undang kebangsaan dan antarabangsa; meneroka platform untuk kerjasama antara agensi; dan memberikan penyelesaian yang boleh dipraktikkan daripada perbincangan ini dalam pengoperasian.


Bengkel Maritime Security Operations (MASO) 2020 yang dianjurkan daripada 25 hingga 27 Ogos 2020 bertujuan untuk memudahkan perbincangan penting ini.



Dianjurkan oleh Pusat Undang-Undang Ketenteraan dan Kemanusiaan Antarabangsa (CoMIHL), UPNM dengan kerjasama Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), program bertajuk “COVID-19: Balancing Border Security Needs with Humanitarian Concerns” ini telah membuka ruang kepada pegawai atasan kerajaan, pembuat dasar dan penguatkuasa undang-undang, wakil organisasi kemanusiaan tempatan dan antarabangsa; dan ahli akademik untuk bertukar pandangan dalam suasana yang neutral dan berilmiah.


Objektif bengkel berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai langkah bersesuaian bagi menangani isu kemanusiaan dalam menjaga sempadan negara semasa pandemik dan meningkatkan kefahaman mengenai peruntukan bantuan kepada mereka yanbg memerlukan, tanpa mengira bangsa, etnik atau agama.


Dianjurkan di kampus Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, MASO 2020 dimulakan dengan bengkel selama dua hari iaitu pada 25 dan 26 Ogos 2020, dan diakhiri hari ini (27 Ogos) dalam perbincangan panel bertajuk “Safety of Life at Sea: When border security meets humanitarian needs”, yang disiarkan secara langsung untuk peserta atas talian.


“Peningkatan populasi pelarian dan pencari tempat selamat (asylum seekers) yang tidak dibenarkan ini bukan hanya melibatkan isu kemanusiaan atau keselamatan negara. Ini membawa kepada kerumitan dan percanggahan negara bangsa moden dan menunjukkan nilai politik, ekonomi dan kemanusiaan yang berbeza, berkaitan dengan pengurusan pendatang antarabangsa. Kebiasannya, kedatangan pendatang dilihat sebagai ancaman terhadap negara.



“Keprihatinan keselamatan negara dilihat daripada konsep perkongsian beban dan pengecualian keselamatan antarabangsa, manakala asas kemanusiaan bergantung kepada dasar tidak menindas, dasar tidak menghukum dan sistem kehakiman yang adil,” kata YBhg. Prof. Emeritus Dato Dr. Tengku Mohd bin Tengku Sembok, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPNM yang mewakili Lt Jen Datuk Haji Abdul Halim bin Haji Jalal, Naib Canselor UPNM dalam ucapan alu-aluannya semasa pembukaan perbincangan panel hari ini.


“Penganjuran seminar ini tepat pada masanya, untuk melihat aspek kemanusiaan melalui lensa pensekuritian, atau sebaliknya. Bengkel ini bertindak sebagai forum perbincangan akademik supaya masyarakat memahami organisasi antarabangsa, dan dalam masa yang sama organisasi antarabangsa ini perlu memahami aspek kedaulatan dan kawalan sempadan Malaysia. Jadi, kita mengambilkira aspirasi kerajaan dengan komitmen oleh organisasi antarabangsa ini,” tambah Lt Jen Datuk Haji Abdul Halim.


Perbincangan panel ini membariskan panelis daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan ICRC. Mereka yang dijemput menghadiri kursus secara atas talian, termasuk pihak media, diberikan peluang untuk mengajukan soalan.


Bengkel selama dua hari ini dihadiri oleh pegawai atasan dan pertengahan yang bertanggungjawab dalam operasi keselamatan maritim seperti Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM); pegawai dalam dasar polisi di Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Imigresen serta ahli akademik. Speaker untuk bengkel ini terdiri daripada wakil daripada MKN, TLDM, APMM, CoMIHL, Jabatan Imigresen, UNHCR, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), KKM dan ICRC.



Semasa sesi berkenaan, pihak berkuasa kerajaan menerangkan polisi keselamatan maritim dan imigresen berkenaan penahanan dan pengusiran semasa pandemik dan cabaran yang dihadapi oleh penguatkuasa undang-undang yang bertugas. Sementara itu, wakil daripada agensi kemanusiaan memberikan pandangan mengenai isu berkenaan dan menggariskan tanggungjawab negara kepada hal kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia berkenaan pendatang.


“Isu ini sering diperbincangkan secara awam, dan ia berkemungkinan menyebabkan salah faham. Ini boleh membawa kepada buruk lagi, terutamanay semasa berhadapan dengan pandemik yang memerlukan kerjasama dan persefahaman daripada semua pihak.


“Memahami kehendak negara, terutamanya semasa krisis ini, apa yang kami lakukan di ICRC ini menyokong pihak berkuasa untuk memenuhi tanggungjawab mereka untuk membantu dna melindungi mereka yang memerlukan. MASO 2020 memberikan peluang untuk perbincangan berkakitan hal ini,” kata Cik Biljana Milosevic, Ketua ICRC, Delegasi Serantau Kuala Lumpur.


Ditubuhkan pada 24 Ogos 2017, CoMIHL merupakan usaha kerjasama antara UPNM dan ICRC. Bertempat di dalam kampus UPNM, pusat ini berfungsi untuk mempromosi dan menyebarkan Undang Undang Ketenteraan dan Kemanusiaan Antarabangsa antara Angkatan Tentera Malaysia dan komuniti ketenteraan dan undang-undang.


Kemaskini Terakhir : Jumaat, 28 Ogos 2020